Rabu, 28 Januari 2009

Hari Kekasih?




Hari kekasih atau “valentines day” mula membudayai di kalangan masyarakat kita di sekitar 1980an. Ia adalah kesan daripada budaya asing yang merebak melalui media cetak mahupun elektronik. Perayaan ini membawa makna yang lebih tepat iaitu mengungkap perasaan cinta dan kasih sayang kepada orang yang dicintai. Setiap pasangan sibuk mengutuskan kad-kad ucapan, menempah hotel-hotel, menghadiahkan jambangan bunga dan tidak hairan juga ada yang sanggup memberikan ‘kehormatan’ sebagai hadiah.
Generasi muda pada hari ini mengikut sahaja tanpa mempersoalkan bahawa ‘valentines day’ ini adalah tradisi dan ajaran kristian. Pada pandangan mereka kononnya mengikut peredaran zaman meskipun menyalahi ajaran Islam. Padahal Allah telah berfirman:
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka katakanlah : “sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar).” Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah mengetahui datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. Orang-orang yang telah kami berikan Al-kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya. Dan barangsiapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. (Al-Baqarah:120-121)

Terdapat tiga pendapat mengenai Valentine’s Day:

i. Semasa pemerintahan empayar Rom, 14 Februari ditetapkan sebagai cuti bagi orang Juno, ratu kepada dewa-dewa dan dewi-dewi Rom. Manakala pada keesokkan harinya pula, diadakan Pesta Lupercalia iaitu tradisi di mana, nama- nama gadis akan ditulis di atas kertas. Pemuda-pemuda akan memilih nama-nama tersebut dan nama yang terpilih akan menjadi pasangan mereka di sepanjang pesta itu berlangsung.

ii. Pendapat kedua, pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine di bunuh semasa pemerintahan Raja Claudius II (268-270 Masihi) kerana berlakunya satu pertelingkahan. Pada ketika itu, Raja Claudius telah membatalkan semua majlis perkahwinan kerana Rom terlibat dengan peperangan. St. Valentine dan St. Marius tetap mengahwinkan pasangan-pasangan secara rahsia. Malangnya, Raja mereka dapat mengesan perbuatan ini dan mengarahkan supaya St. Valentine di tangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari (270 Masihi). Maka 14 Februari diadakan upacara keagamaan bagi memperingati kematian St. Valentine sebagai simbol keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi dugaan hidup.

iii. Valentine’s Day di ambil sempena nama seorang paderi di zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol. St. Valentines merupakan paderi Katolik yang kedudukannya kedua tertinggi selepas Pope. Beliau menggemparkan pemerintah dan rakyat Cordova apabila menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya. Sememangnya seorang paderi tidak boleh berkahwin apatah lagi berkahwin dengan pengamal Protestan. Tindakan tersebut menimbulkan rasa murka oleh Ratu Isabella, baginda menintahkan untuk memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St. Valentine sendiri.

Sesungguhnya jelaslah bahawa tidak ada istilah Hari Kekasih atau Valentine’ Day dalam agama Islam. Hakikatnya umat Islam punyai identiti yang tersendiri dan tidak mencampur aduk akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah serta peribadatan agama lain. Berdasarkan firman Allah S.W.T :
Katakanlah (wahai Muhammad): hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadatan dan kamu pula tidak mahu beribadatan secara aku beribadatan. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Al-Kafirun ayat 1-6)

Berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami maka ia akan ditolak.”

Islam menggalakkan umatnya berkasih sayang akan tetapi bagi meluahkannya perlulah dengan saluran yang dibenarkan oleh syarak, bukannya yang mendorong atau merangsang kepada perayaan yang mengandungi unsur-unsur ritual dan kepercayaan agama Kristian. Realitinya, Islam adalah agama yang praktikal, bukan mengongkong. Usaha untuk memupuk kasih sayang bukanlah ditetapkan pada hari tertentu sahaja, kerana cinta merupakan proses kasih sayang yang berterusan dan berpanjangan.